
Aku bukanlah siapa-siapa, tetapi aku punya kisah yang dapat dikongsikan bersama rakan-rakan juga pembaca-pembaca yang sudi membaca nukilan kecil seorang pelajar.
Waktu itu aku belajar di Tingkatan 5. Aku bukanlah pelajar pintar seperti rakan-rakanku yang lain. Aku berani menyatakan tanpa hipokrit bahawa aku adalah pelajar yang hanya sederhana dalam pelajaran, atau mungkin juga aku ini "lambat a.k.a lembab" dalam pelajaran terutamanya Matematik. Jangan cakaplah betapa aku ini benci teramat sangat dengan matapelajaran Matematik ini. Pada aku ia sungguh bosan, bosan, dan bosan!
Tapi aku punya minat yang mendalam pada pelajaran Agama dan Tasawwur Islam. Adakah aku meminati matapelajaran tersebut kerana aku cintakan agama? Aku tidak tahu. Yang pasti suatu waktu dulu emak aku pernah cakap aku ini dilahirkan selepas didoakan oleh seorang alim. Didoakan oleh seorang alim sekalipun bukanlah tiket untuk aku masuk syurga dengan mudah. Ia juga bukanlah tiket bahawa aku ini alim, atau aku ini sopan, atau aku ini baik.
Satu pagi tu kalau tak silap aku hari Jumaat adalah hari kesukaan aku. Mana tidaknya pelajaran permulaan pada pagi itu adalah pelajaran Agama Islam kegemaran aku yang diajar oleh ustazah Maznah. Ustazah Maznah ini seorang yang baik pada pandangan aku yang lembab ini, setakat ini semua yang diajarinya dapat aku cerna dengan sebaik mungkin sampai-sampai aku ini dikira pelajar kesayangan dia oleh rakan-rakan aku.
Arrgh... Lantaklah apa pun yang dikatakan oleh mereka itu. Aku langsung tak ambil pusing.
Pagi itu aku belajar tentang ulama' Islam sedunia. Dalam banyak-banyak ulama' yang dikenalkan oleh ustazah aku itu aku hanya tertarik dengan Sayyid Jamaluddin al Afghani.
Siapa Sayyid Jamaluddin al Afghani itu?
Dalam perbentangan aku dengan rakan-rakan, aku kata "Nama sebenar Sayyid Jamaluddin al-Afghani ialah Muhammad Jamaluddin al-Afghani al-Husaini. Namun, terdapat sesetengah sumber menyatakan nama sebenarnya ialah Muhammad ibn Safdar al-Husain. Dilahirkan pada tahun 1838 Masihi bersamaan dengan 1254 Hijrah, beliau dibesarkan di tempat lahirnya, iaitu di
Asadabad, salah satu kawasan di Zon
Kunar di
Afghanistan. Datuknya, Sayid Ali pernah tinggal untuk sementara waktu di Hamedan, Iran dan beliau dikenali sebagai Hamadani. Manakala ayah Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sayid Safdar, menetap di Kabul pada 1844 Masihi bersama keluarganya. Beberapa tahun kemudian, beliau berpindah ke Hamedan, Iran, disebabkan tekanan politik yang diletakkan ke atasnya oleh Raja Afghanistan. Walau bagaimanapun, menurut sumber dari beberapa warganegara Iran, beliau dilahirkan di As’adabad di Zon Hamedan, Iran."
Lalu tiba-tiba ustazah aku mencelah bahawa Asadabad itu berada di Afghanistan bukan Iran.
Aku lalu menjawab dengan yakin bahawa Asadabad itu berada dalam wilayah Iran bukannya Afghanistan. Sebagai bukti aku telah tunjukkan peta dunia padanya dan rakan-rakan yang lain.
Ustazahku hanya tunduk dengan muka merah padam. Entahkan marah, entahkan malu tidaklah aku ketahui.
Lalu aku menyambung "Sayid Jamaluddin al-Afghani mempunyai pertalian darah dengan seorang periwayat hadis yang terkenal, Imam at-Tarmizi dan seterusnya kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Sayid Jamaluddin al-Afghani adalah seorang yang suka mengembara. Beliau telah mengembara ke beberapa tempat seperti Najaf, India, Makkah, Tehran dan Khurasan.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1897 Masihi bersamaan 1314 Hijrah ketika berusia 60 tahun dan beliau dikebumikan di Istanbul. Pada lewat tahun 1944, jenazah Sayid Jamaluddin al-Afghani dibawa ke Afghanistan atas permintaan kerajaan Afghanistan. Jenazahnya dikebumikan di Kabul di dalam Universiti Kabul. Sebuah mousoleum telah dirikan untuknya."
"Pada peringkat awal, Sayid Jamaluddin al-Afghani mendapat pendidikan daripada orang tuanya dalam bidang ilmu agama dan
bahasa Arab. Beliau mempelajari asas-asas bahasa Arab seperti nahu dan sastera ketika itu. Selepas itu, beliau mempelajari ilmu-ilmu keagamaan seperti ilmu tauhid, fikah, usul fikah, tafsir, hadis dan lain-lain.
Sayid Jamaluddin telah menghafaz
al-Quran ketika beliau berusia 12 tahun. Beliau mendalami beberapa disiplin ilmu seperti hadis, falsafah, mantik, usuluddin, perubatan, dan ilmu kalam ketika berada di Najaf. Ketika Sayid Jamaluddin al-Afghani merantau ke
India, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu moden seperti
sains dan
matematik." Bila sampai pada kalimah Matematik rakan-rakan aku yang lain hanya tersenyum lucu memandang aku. Aku sendiri sebenarnya malu. Yelah, seorang ulama' rupanya mestilah pandai Matematik kerana jika hendak memahami sesuatu masalah kita memerlukan bentuk pemikiran Matematik untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi itu. Sedangkan aku minat pelajaran agama Islam tapi malas dan benci Matematik.
Tanpa mempedulikan rakan-rakan aku yang senyum lucu memandang aku, aku meneruskan "Dalam pada itu, Sayid Jamaluddin al-Afghani juga mula berkarya. Karya Sayid Jamaluddin al-Afghani yang pertama berjudul Keterangan Lengkap tentang Sejarah Afghanistan. Semasa menetap di
Mesir, beliau telah bertemu dengan ramai penuntut Universiti al-Azhar yang datang menimba ilmu dan pengalaman daripadanya, termasuklah
Syeikh Muhammad Abduh. Hasil pertemuan tersebut telah menyemarakkan gerakan pemikiran Jamaluddin di Mesir. Gerakan ini dikenali sebagai Gerakan Islah."
"Beliau juga adalah seorang ahli politik yang aktif berjuang menentang penjajah.
Antara keperibadian-keperibadian yang beliau miliki ialah:
1) Mencintai ilmu pengetahuan;
2) Mempunyai akal fikiran yang cerdas, tajam, dan berpandangan jauh;
3) Memiliki semangat jihad yang tinggi;
4) Berusaha mencorakkan pemikiran masyarakat Islam kepada kemajuan dan bebas daripada penjajah;
5) Mempunyai kewibawaan dan kebolehan sebagai seorang pemimpin;
6) Petah berpidato dalam meniupkan semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat Islam;
7) Bergiat dalam arena penulisan dengan menyalurkan idea-idea untuk menyedarkan rakyat ke arah kemajuan *dan pembangunan;
8) Tidak jemu menjelajah ke merata tempat untuk mencari ilmu pengetahuan di samping berdakwah untuk membetulkan kefahaman ajaran Islam."
Akhir sekali sebelum aku menutup pembentangan aku menyatakan " Sayyid Jamluddin al Afghani bermazhab Syiah Imamiyyah"
Lalu dengan berangnya ustazah aku terus menghentak meja denga muka merah menyala-nyala tanda marah. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Apa salah aku? Atau salahkah perbentangan aku ini?
Itu bukanlah perkara penting yang ingin aku kongsikan. Yang ingin aku kongsikan bersama setelah perbentangan itu aku benar mula menyukai pelajaran Matematik. Ya aku amat menyukainya! Aku ingin menjadi seperti Sayyid Jamaluddin al Afghani.
Dalam pada itu semasa di rumah aku bertanya pada emakku siapakah nama orang alim yang mendoakan kelahiran aku itu. Kata emak orang alim yang mendoakan aku itu namanya Sayyid Jamaluddin al Afghani dari keturunan sayyid Johor. Subhanallah! Laungku sekuat hati!