Monday, June 2, 2008

Sayyid Jamaluddin al Afghani


Aku bukanlah siapa-siapa, tetapi aku punya kisah yang dapat dikongsikan bersama rakan-rakan juga pembaca-pembaca yang sudi membaca nukilan kecil seorang pelajar.

Waktu itu aku belajar di Tingkatan 5. Aku bukanlah pelajar pintar seperti rakan-rakanku yang lain. Aku berani menyatakan tanpa hipokrit bahawa aku adalah pelajar yang hanya sederhana dalam pelajaran, atau mungkin juga aku ini "lambat a.k.a lembab" dalam pelajaran terutamanya Matematik. Jangan cakaplah betapa aku ini benci teramat sangat dengan matapelajaran Matematik ini. Pada aku ia sungguh bosan, bosan, dan bosan!

Tapi aku punya minat yang mendalam pada pelajaran Agama dan Tasawwur Islam. Adakah aku meminati matapelajaran tersebut kerana aku cintakan agama? Aku tidak tahu. Yang pasti suatu waktu dulu emak aku pernah cakap aku ini dilahirkan selepas didoakan oleh seorang alim. Didoakan oleh seorang alim sekalipun bukanlah tiket untuk aku masuk syurga dengan mudah. Ia juga bukanlah tiket bahawa aku ini alim, atau aku ini sopan, atau aku ini baik.

Satu pagi tu kalau tak silap aku hari Jumaat adalah hari kesukaan aku. Mana tidaknya pelajaran permulaan pada pagi itu adalah pelajaran Agama Islam kegemaran aku yang diajar oleh ustazah Maznah. Ustazah Maznah ini seorang yang baik pada pandangan aku yang lembab ini, setakat ini semua yang diajarinya dapat aku cerna dengan sebaik mungkin sampai-sampai aku ini dikira pelajar kesayangan dia oleh rakan-rakan aku.

Arrgh... Lantaklah apa pun yang dikatakan oleh mereka itu. Aku langsung tak ambil pusing.

Pagi itu aku belajar tentang ulama' Islam sedunia. Dalam banyak-banyak ulama' yang dikenalkan oleh ustazah aku itu aku hanya tertarik dengan Sayyid Jamaluddin al Afghani.

Siapa Sayyid Jamaluddin al Afghani itu?

Dalam perbentangan aku dengan rakan-rakan, aku kata "Nama sebenar Sayyid Jamaluddin al-Afghani ialah Muhammad Jamaluddin al-Afghani al-Husaini. Namun, terdapat sesetengah sumber menyatakan nama sebenarnya ialah Muhammad ibn Safdar al-Husain. Dilahirkan pada tahun 1838 Masihi bersamaan dengan 1254 Hijrah, beliau dibesarkan di tempat lahirnya, iaitu di Asadabad, salah satu kawasan di Zon Kunar di Afghanistan. Datuknya, Sayid Ali pernah tinggal untuk sementara waktu di Hamedan, Iran dan beliau dikenali sebagai Hamadani. Manakala ayah Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sayid Safdar, menetap di Kabul pada 1844 Masihi bersama keluarganya. Beberapa tahun kemudian, beliau berpindah ke Hamedan, Iran, disebabkan tekanan politik yang diletakkan ke atasnya oleh Raja Afghanistan. Walau bagaimanapun, menurut sumber dari beberapa warganegara Iran, beliau dilahirkan di As’adabad di Zon Hamedan, Iran."

Lalu tiba-tiba ustazah aku mencelah bahawa Asadabad itu berada di Afghanistan bukan Iran.

Aku lalu menjawab dengan yakin bahawa Asadabad itu berada dalam wilayah Iran bukannya Afghanistan. Sebagai bukti aku telah tunjukkan peta dunia padanya dan rakan-rakan yang lain.

Ustazahku hanya tunduk dengan muka merah padam. Entahkan marah, entahkan malu tidaklah aku ketahui.

Lalu aku menyambung "Sayid Jamaluddin al-Afghani mempunyai pertalian darah dengan seorang periwayat hadis yang terkenal, Imam at-Tarmizi dan seterusnya kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Sayid Jamaluddin al-Afghani adalah seorang yang suka mengembara. Beliau telah mengembara ke beberapa tempat seperti Najaf, India, Makkah, Tehran dan Khurasan.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1897 Masihi bersamaan 1314 Hijrah ketika berusia 60 tahun dan beliau dikebumikan di Istanbul. Pada lewat tahun 1944, jenazah Sayid Jamaluddin al-Afghani dibawa ke Afghanistan atas permintaan kerajaan Afghanistan. Jenazahnya dikebumikan di Kabul di dalam Universiti Kabul. Sebuah mousoleum telah dirikan untuknya."

"Pada peringkat awal, Sayid Jamaluddin al-Afghani mendapat pendidikan daripada orang tuanya dalam bidang ilmu agama dan bahasa Arab. Beliau mempelajari asas-asas bahasa Arab seperti nahu dan sastera ketika itu. Selepas itu, beliau mempelajari ilmu-ilmu keagamaan seperti ilmu tauhid, fikah, usul fikah, tafsir, hadis dan lain-lain.

Sayid Jamaluddin telah menghafaz al-Quran ketika beliau berusia 12 tahun. Beliau mendalami beberapa disiplin ilmu seperti hadis, falsafah, mantik, usuluddin, perubatan, dan ilmu kalam ketika berada di Najaf. Ketika Sayid Jamaluddin al-Afghani merantau ke India, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu moden seperti sains dan matematik." Bila sampai pada kalimah Matematik rakan-rakan aku yang lain hanya tersenyum lucu memandang aku. Aku sendiri sebenarnya malu. Yelah, seorang ulama' rupanya mestilah pandai Matematik kerana jika hendak memahami sesuatu masalah kita memerlukan bentuk pemikiran Matematik untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi itu. Sedangkan aku minat pelajaran agama Islam tapi malas dan benci Matematik.

Tanpa mempedulikan rakan-rakan aku yang senyum lucu memandang aku, aku meneruskan "Dalam pada itu, Sayid Jamaluddin al-Afghani juga mula berkarya. Karya Sayid Jamaluddin al-Afghani yang pertama berjudul Keterangan Lengkap tentang Sejarah Afghanistan. Semasa menetap di Mesir, beliau telah bertemu dengan ramai penuntut Universiti al-Azhar yang datang menimba ilmu dan pengalaman daripadanya, termasuklah Syeikh Muhammad Abduh. Hasil pertemuan tersebut telah menyemarakkan gerakan pemikiran Jamaluddin di Mesir. Gerakan ini dikenali sebagai Gerakan Islah."

"Beliau juga adalah seorang ahli politik yang aktif berjuang menentang penjajah.
Antara keperibadian-keperibadian yang beliau miliki ialah:

1) Mencintai ilmu pengetahuan;


2) Mempunyai akal fikiran yang cerdas, tajam, dan berpandangan jauh;


3) Memiliki semangat jihad yang tinggi;


4) Berusaha mencorakkan pemikiran masyarakat Islam kepada kemajuan dan bebas daripada penjajah;


5) Mempunyai kewibawaan dan kebolehan sebagai seorang pemimpin;


6) Petah berpidato dalam meniupkan semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat Islam;


7) Bergiat dalam arena penulisan dengan menyalurkan idea-idea untuk menyedarkan rakyat ke arah kemajuan *dan pembangunan;


8) Tidak jemu menjelajah ke merata tempat untuk mencari ilmu pengetahuan di samping berdakwah untuk membetulkan kefahaman ajaran Islam."

Akhir sekali sebelum aku menutup pembentangan aku menyatakan " Sayyid Jamluddin al Afghani bermazhab Syiah Imamiyyah"

Lalu dengan berangnya ustazah aku terus menghentak meja denga muka merah menyala-nyala tanda marah. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Apa salah aku? Atau salahkah perbentangan aku ini?
Itu bukanlah perkara penting yang ingin aku kongsikan. Yang ingin aku kongsikan bersama setelah perbentangan itu aku benar mula menyukai pelajaran Matematik. Ya aku amat menyukainya! Aku ingin menjadi seperti Sayyid Jamaluddin al Afghani.
Dalam pada itu semasa di rumah aku bertanya pada emakku siapakah nama orang alim yang mendoakan kelahiran aku itu. Kata emak orang alim yang mendoakan aku itu namanya Sayyid Jamaluddin al Afghani dari keturunan sayyid Johor. Subhanallah! Laungku sekuat hati!

4 comments:

pedang.malam said...

Salam

Kepada rakan-rakan yang dihormati sekalian..

Syed Jamaluddin Al-Afghani merupakan salah seorang tokoh penyumbang idea kemerdekaan negara kita sebenarnya. Walaupun dia merupakan seorang yang bermazhab syiah,nilai kesatuan ummah yang diperjuangkannya tidak luntur sama sekali.Boleh dikatakan antara titik mula penyatuan Sunnah dan Syiah segar kembali hasil dari usaha beliau melawan kezaliman Inggeris di negara-negara Islam.

Teringat saya sewaktu di zaman persekolahan menengah dahulu,kami ditugaskan untuk membentangkan kajian ringkas biografi Al-Afghani.Hati kami seringkali teruja dan bersemangat tatkala meneliti biografi peribadi agung ini.Masakan tidak teruja,beliau dikenali sebagai seorang yang sangat alim,genius,berani,tegas,sangat fasih bila berbicara dan berpidato dan sangat kuat beribadah. Penemuan kami sangat-sangat mengejutkan apabila terbukti Al-Afghani seorang yang bermazhab syiah dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ulama’-ulama’ syiah di Iran dan di Iraq.

Jiwa remaja manakah yang tidak berkobar-kobar apabila berdepan dengan Al-Afghani? Kami terasa ruh Jihad Islam begitu subur di dalam jiwa Al-Afghani. Penjajah barat seperti Inggeris,Perancis, Itali dan Belanda kerdil bila berhadapan dengannya. Setiap kali terdengar namanya kami terbayang kegarangan wajahnya apabila berhadapan dengan musibat penjajah di samping wajah seorang yang kerap menangis kerana banyakknya ibadah. Betapa kami bercita-cita untuk menjadi pejuang sepertinya Allah swt lebih
Mahamengetahui.

Rata-rata guru-guru agama sekolah tidak percaya malah menafikan kesyiahan Al-Afghani.Kami melampirkan berbagai bukti malangnya dicemuh tidak kurang juga yang melenting.

Mereka melenting bukanlah kerana mereka benci tetapi tidak menyangkakan yang Syiah yang mereka ketahui berbeza dengan Syiah yang dibawakan dalam diri Al-Afghani.Al-Afghani membuktikan yang Syiah sama sekali tidak memusuhi Sunni malah membela nasib mereka apabila ditindas seperti yang terjadi di India, Afghanistan, Jazirah Arab(yang kemudian menjadi Arab Saudi),Mesir dan di selatan Lubnan.

Dalam berpakaian jubah ulama yang merupakan pakaian rasminya selama ini,beliau menggagaskan idea-idea kemerdekaan dengan pidato-pidato yang berapi dan penuh hikmah.Perlu diketahui pidato-pidatonya bersumberkan ucapan-ucapan kefasihan berasal dari buku Nahjul Balaghah yang merupakan himpunan pidato,surat dan kata-kata hikmah datuknya iaitu Saidina Ali bin Abi Talib kwj. Darah yang mengalir di dalam jasadnya itu merupakan darah warisan syuhada Karbala yang merupakan datuknya juga, Saidina Husain ra. Tidak hairan jika kata-kata datuknya ini menjadi prinsip perjuangannya.

“Syahid sebagai Husain atau hidup sebagai Zainab”
Kedua-duanya berjuang, mati melawan kezaliman yang hadiahnya syahid dan hidup menyampaikan pidato mengecam kezaliman Yazid.

Rakan dan juga anak muridnya, Shaikh Muhammd Abduh juga mendapat manfaat dari Al-Afghani hingga membuat syarah terhadap buku Nahjul Balaghah kerana menyedari betapa pentingnya buku tersebut di dalam dunia Islam.Dan gagasan Al-Afghani ini disambung oleh leluhur pejuang kemerdekaan kita iaitu Shaikh Tahir Jalaluddin dan Syed Shaikh Ali al-Haj yang berkesempatan menuntut di Universiti Al-Azhar ketika itu.

Hakikatnya idea kemerdekaan negara kita yang dipelopori golongan agama pada awalnya merupakan hasil didikan pidato-pidato dan mata air hikmah dari Al-Afghani. Malangnya, yang difokuskan kepada Tunku.

Guru-guru agama saya tidak percaya malah mengatakan ini adalah propaganda yahudi zionis.Tapi realitinya Yahudi zionis sangat membenci syiah khususnya syiah Iran.Dan Al-Afghani berasal dari bandar Asadabadi,Iran, yang berhampiran dengan Afghanistan. Umum dunia sebenarnya tahu akan kesyiahan Al-Afghani tetapi peribadi mulianya telah memadamkan segala persepsi buruk orang terhadap syiah dan mula menilai kembali fakta tentang syiah yang mereka hadamkan selama ini.

Untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian nama lain beliau adalah Syed Jamaluddin Asadabadi.Al-Afghani melekat kerana betapa rakyat Afghanistan juga terhutang budi dengan perjuangan beliau dan menisbatkan gelaran itu kepadanya.

Kami juga membuktikan yang beliau pernah menghantar surat kepada Marja' dunia syiah ketika itu, Ayatullah Al-Uzma Sayyid Hassan Shirazi, untuk mengharamkan penggunaan rokok di Iraq yang ketika itu yang menyumbangkan dana kepada penjajah Inggeris.Dan nasihat Al-Afghani diterima pakai oleh Ayatullah Shirazi. Rakyat Iraq patuh dan taat akan perintah dan fatwa Ayatullah Shirazi itu.

Berkat permulaan bicara yang diawali dengan Bismillah dan selawat kepada Nabi Muhammad saaw perbincangan di dalam kelas itu disambut dengan baik oleh rakan sekelas apabila sesi soal jawab yang menyegarkan terjadi. Guru agama kami tetap bersikap keras hati dan mempertahankan maklumat itu tidak benar dan menyimpang dari buku teks. Dengan niat bukan untuk memalukan tetapi berkongsi maklumat kami membuktikan yang hatta buku teks miliknya sendiri menjadikan buku rujukan kami sebagai rujukan utama. Dengan wajah yang sedikit terkulat-kulat (tak tahulah marah ke malu)dia menelan hakikat tersebut .

Syiah tidak membenci Sunni malah membela mereka.Syiah memerlukan sokongan sunni sepertimana sunni memerlukan sokongan syiah.Syiah dan sunni adalah bersaudara dan hanya berbeza pendapat pada benda-benda yang kecil(furu').

Imam Khomaini diriwayatkan sempat bertemu dengan al-Afghani sewaktu beliau menetap di Iran selepas dihalau oleh penguasa Mesir ketika itu. Apa yang mereka bincangkan tidaklah saya ketahui tetapi saya yakin perjuangan Al-Afghni di sambung oleh Mullah muda ini yang kemudiannya dikenali sebagai bapa Revolusi Islam,Ayatullah Khomaini.

Kita sebagai generasi penerus pejuang Islam mesti sedar yang berkat doa tokoh-tokoh inilah yang menyebabkan jiwa menentang kezaliman terus hidup dan bersemangat dalam sanubari kita. Betapa kita berhutang budi pada mereka dan betapa zalimnya kita bila melupakannya.

Ya Allah jangan lupakan kami padanya, bantulah kami untuk menjadi seperti mereka..bukalah hati kami untuk menimba ilmu dari perjuangan mereka supaya kezaliman yang bertakhta di sanubari dan Negara kami ini tercabut bersama akar-akarnya sekali..Amiin

Salawat

p/s: Nikkie R. Kiddie seorang Professer Sejarah yang banyak mengkaji tentang peribadi Al-Afghani. Dia seorang berbangsa Yahudi tetapi sangat meminati Al-Afghani hingga menerbitkan kajiannya mengenai Al-Afghani dalam beberapa artikel dan buku sepertimana Gorge Jordac meminati Saidina Ali.Bukunya dipinjamkan kepada kami oleh Ust Kamruddin sebagai rujukan kepada kami ketika perbincangan tersebut.Thanx a lot
Ustaz..

Ali Al Husaini said...

salam abang SA...

Nampak macam nak perli saya saja sebab saya pun macam lebih kureng macam itu.Hehehehe.Tapi saya rasa kalau saya sampai saya masuk neraka pun saya bosan nak belajar matematik,kalau sains tu saya suka la.

WASALAM
ASALAMUALAIKA YA IMAM HUSEIN,
ASALAMUALAIKA YA IMAM ALI ZAINAL ABIDIN,
WAL ASALAMUALAIKA YA IMAM ALI WAL SAYYIDINA HAMZAH WAL SYUHADA'E UHUD

Dayah Danisha said...
This comment has been removed by the author.
Dayah Danisha said...

Datang sini , nak rujuk untuk pembentangan juga. Bentang untuk form5 . Tapi betul ke dia syiah??